MARYAM JAMEELAH....pernah dengar nama ini??














“ISLAM menjawab dan menjelaskan segala-galanya. Dalam Islam saya temui kebenaran, kebaikan dan kecantikan yang bukan sahaja membawa dan memandu seseorang itu tentang kehidupan di dunia malah kehidupan selepas kematian.

“Malah jika ada yang bertanyakan bagaimana saya mengetahuinya? Saya hanya mampu menjawab, pengalaman peribadi cukup menyakinkan saya.
Pegangan teguh saya kepada akidah Islam datang secara tenang tetapi penuh keyakinan.

“Pengislaman saya adalah begitu formaliti, langsung tidak melibatkan perubahan radikal dalaman.” Begitulah jawapan Maryam Jameelah atau sebelum ini Margaret (Peggy) Marcus, seorang Yahudi Amerika yang memeluk Islam pada 1961 tentang impak agama Islam terhadap kehidupannya.

Menurut Maryam lagi, minatnya terhadap Islam bermula seawal usianya 10 tahun sewaktu mengikuti reformasi Yahudi Sunday School.

Pada waktu itu, beliau tertarik dengan sejarah hubungan di antara bangsa Yahudi dengan bangsa Arab. Menerusi buku teks Yahudi, dia difahamkan bahawa Nabi Ibrahim ialah ayahanda kepada semua bangsa Arab dan juga bangsa Yahudi.

Beliau terbaca beberapa abad kemudian semasa Zaman Pertengahan Eropah,
penindasan Kristian menyebabkan orang Yahudi teruk terseksa dan kehadiran mereka diterima umat Islam di Sepanyol.

Kebaikan hati yang ditunjukkan ini bakal merangsang budaya Ibrani (Hebrew) terus cemerlang tanpa langsung mengesyaki sifat semulajadi Zionis.

“Saya terlalu naif dan percaya bahawa bangsa Yahudi akan kembali ke Palestin untuk memperteguhkan hubungan persaudaraan dengan saudara sesama Arab.

“Tarikan kuat dengan pembelajaran sejarah bangsa Yahudi membuatkan saya tidak gembira di Sunday School,” katanya.

“Kakak saya sangat benci ke Sunday School sehingga setiap pagi ibu terpaksa bangunkannya dari katil dan dia tidak akan berganjak selepas dibebel dengan kata-kata pedas dan air mata. Akhirnya ibu, terima hakikat penolakan kakak.

Sementara itu, pada sambutan perayaan keagamaan Yahudi, kami (kakak dan saya) bukannya ke Synagogue atau melaksanakan puasa pada Tum Kipper tetapi kami dibawa keluar dari sekolah untuk pergi berkelah dan berpesta di restoran terbaik.

Apabila kami berjaya membuktikan kepada ibu bapa betapa teruknya keadaan kami di Sunday School, mereka menyertai pula sebuah organisasi agnostik dan kemanusiaan yang dikenali Ethical Cultural Movement,” cerita Maryam yang menghadiri kelas baru itu sehingga tamat pengajian iaitu pada usia 15 tahun.

Katanya lagi, apabila semakin dewasa dan matang, beliau tidak boleh menerima dan memperoleh kepuasan menerusi fahaman ateis.

Lalu Maryam mula mencari pembaharuan kepada identiti diri. Dalam tempoh itu, beliau pernah menyertai kumpulan bahai di New York yang dikenali The caravan of East and West diketuai lelaki Parsi bernama Mirza Ahmed Sohrab.

Beliau tertarik dengan Bahai kerana ia berasaskan Islam dan ceramahnya tentang Tuhan Yang Satu. Pun begitu, apabila beliau mengetahui kegagalannya untuk mengaplikasikan idea tersebut, Maryam meninggalkannya setelah setahun penyertaan.

Pada usia 18 tahun, Maryam menyertai pergerakan pemuda Zionis yang dikenali sebagai Mizrachi Hatzair tetapi apabila mengetahui kebenaran di sebalik Zionis, sekali lagi dia dikecewakan.

Semasa usianya mencecah 20 tahun, Maryam belajar di Universiti New York dan salah satu subjek elektif yang diambilnya ialah Judaism in Islam.

Malangnya profesor yang juga Ketua Jabatan Pengajian Hebrew, Rabbi Abraham Issac Katsh memesongkan para pelajarnya dengan mengatakan Islam berasal daripada agama Yahudi.

Tambah memburukkan, profesornya menyalahgunakan al-Quran demi membuktikan kepada pelajarnya bahawa agama Yahudi adalah agama teragung. Apabila semua tembelang yang dibawa oleh agama Yahudi terbongkar, Maryam tidak sanggup lagi mengakui dan menerima agama Yahudi.

Semenjak itu, beliau mula membuat perbandingan agama Yahudi dengan agama Islam.

Dalam kajiannya terhadap Old Testament dan kitab Taurat serta perbandingan dengan al-Quran dan hadis. Apa yang Maryam temui, agama Yahudi telah rosak sedikit dan akhirnya beliau mengucap syahadah.

Sebenarnya, keinginan bergelar Muslim wujud sejak tahun 1954 namun keluarganya dapat menghalang menerusi perbincangan terbuka.

Beliau ditakutkan dengan mengatakan bahawa Islam akan menyukarkan kehidupannya kerana ia tidak seperti agama Yahudi dan Kristian.

“Saya diberitahu bahawa Islam akan merenggangkan hubungan kami sekeluarga dan menyisihkan saya daripada masyarakat.

Pada masa itu, keimanan saya tidak begitu teguh untuk menghadapi tekanan sehebat itu. Situasi ini menyebabkan saya jatuh sakit.

“Dua tahun (1957-1959) saya berehat di rumah dan mendapat rawatan tetapi keadaan saya semakin teruk.

“Melihat keadaan kemurungan itu, ibu bapa menghantar saya ke hospital awam. Saya bersumpah sekiranya saya sembuh dan dibenarkan keluar, saya akan memeluk Islam.

“Apabila saya dibenarkan pulang, saya menyiasat mana-mana peluang untuk bertemu dengan orang Islam di Bandar Raya New York. Saya banyak menghabiskan masa di Perpustakaan Awam New York membaca bahan-bahan berkaitan Islam,” jelasnya yang banyak menghasilkan buku-buku berkaitan agama Islam selepas memeluk Islam.

Alhamdulillah, beliau berpeluang bertemu dengan beberapa lelaki dan perempuan Islam pada ketika itu.

Malah Maryam mula menulis rencana kepada majalah beraliran Islam dan berutus dengan ketua-ketua Islam seluruh dunia.

“Saya pernah berutus dengan Allahyarham Sheikh Abrahimi, ketua ulama di Algeria, Dr. Muhammad El-Bahay di Al-Azhar, Dr. Mahmud F. Hoballah dan Pengarah Pusat Islam di Washington D.C., Dr. Hameedullah di Paris, Dr. Said Ramadan, Pengarah Pusat Islam Geneva dan Maulana Sayyid Abul Ala Maudoodi,” katanya lagi.

Menurut Maryam, sangkaan pertamanya bila membaca al-Quran, Islam adalah satu-satunya agama kebenaran, benar-benar jujur, ikhlas, tidak membenarkan kompromi murahan atau hipokrasi.

Maulana Maudoodi pernah menulis kepada Maryam dalam suratnya yang pertama pada Januari 1961 berbunyi: “Semasa saya menilai esei anda, saya dapat rasakan seperti saya membaca idea saya sendiri.

“Saya berharap perasaan anda tidak akan berubah sekiranya anda berpeluang mempelajari bahasa Urdu dan pelajari buku-buku saya.

“Walaupun kita tidak pernah berkenalan, namun kesepakatan pemikiran dan simpati yang wujud adalah hasil daripada sumber yang sama iaitu Islam,” katanya.

Menjawab soalan tentang sikap dan reaksi ahli keluarga dan teman-teman selepas bergelar Muslim, kata Maryam, keluarga, saudara mara dan kawan-kawan menanggap beliau seorang yang fanatik kerana percakapan dan pemikirannya adalah tentang agama Allah sahaja.

Bagi mereka soal agama adalah sesuatu yang peribadi. Namun selepas membaca al-Quran, saya mengetahui bahawa Islam bukanlah sekadar hobi tetapi ia adalah soal kehidupan.

* Sumber: The Islamic Bulletin, San Francisco, California, Amerika Syarikat.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS

0 kwn saya:

Catat Ulasan