SHEIKH Yusuf Estes.....??????
















SHEIKH Yusuf Estes ialah seorang cendekiawan terkenal yang tidak pernah jemu mengembangkan syiar Islam ke seantero dunia serta mengedarkan bahan-bahan ceramah dalam pelbagai medium kepada umat manusia.


Ikuti autobiografi penghijrahan akidah beliau dari seorang pengkhutbah Kristian kepada pendakwah Muslim yang aktif dan disegani.

Saya dilahirkan dalam sebuah keluarga yang berpegang kuat kepada agama Kristian di Midwest, Amerika Syarikat. Hakikatnya, nenek moyang kami bukan sahaja membina gereja-gereja dan sekolah-sekolah sepanjang tanah ini tetapi keturunan kami juga merupakan orang yang paling awal datang ke situ.


Semasa di sekolah rendah, kami sekeluarga ditempatkan semula di Houston, Texas pada 1949. Kami selalu menghadiri gereja dan saya telah dibaptiskan pada usia 12 tahun di Pasadena, Texas.


Pada zaman remaja, saya teringin melawat ke gereja-gereja lain untuk mempelajari Baptist, Methodist, Episcopalian, Charismatic movement, Nazarene, Church of Christ, Church of God, Church of God ini Christ, Full Gospel, Agape, Chatolic, Presbyterian dan banyak lagi.


Namun, pengkajian saya tidak terhenti kepada agama Kristian. Agama Hindu, Yahudi, Buddha, Metaphysics dan kepercayaan tradisi orang Amerika turut saya selidiki. Sayangnya agama Islam tidak menjadi pilihan.


Bagaimanapun, saya tertarik dengan perbezaan jenis muzik terutamanya Gospel dan Klasikal. Memandangkan keluarga saya ramai yang kuat agamanya dan muzikal, ia secara tidak langsung menjadikan dua bidang ini sebagai pengajian permulaan. Semua ini membawa saya kepada jawatan Paderi Muzik di beberapa gereja di mana saya menjadi ahli gabungan selama lebih setahun. Saya mula mengajar keyboard pada 1960 dan sehingga 1963, saya berjaya memiliki studio sendiri di Laurel, Maryland yang diberi nama Estes Music Studios.



Sepanjang 30 tahun, saya dan bapa banyak bekerjasama mengendalikan pelbagai program hiburan. Kami juga membuka kedai piano dan organ di Texas, Oklahoma hingga ke Florida. Meskipun memperoleh kekayaan namun sukar temui ketenangan fikiran.


Persoalan seperti; "Mengapa kita diciptakan Tuhan?", "Apakah yang Tuhan mahu kita lakukan?", "Siapa Tuhan sebenarnya?" dan "Kenapa kita percaya dengan dosa sebenar?" sering menghantui diri. Namun semua persoalan ini dibidas keras malah menyuruh anda menerima tanpa mempersoalkannya atau itulah 'misteri' dan anda tidak perlu mempersoalkan hal itu.


Suatu hari tahun 1991, saya terkejut apabila diberitahu bahawa orang Islam mempercayai kitab Bible. Malah lebih memeranjatkan, mereka juga mempercayai bahawa Nabi Isa itu utusan Allah, Rasul, dilahirkan luar biasa tanpa berbapa, Nabi Isa akan kembali pada akhir zaman. Memang ia sesuatu yang sukar dipercayai, apatah lagi fikiran saya tentang Islam agak negatif.


Ayah saya sangat aktif menyokong kerja-kerja gereja, terutamanya dalam program sekolah sehingga beliau ditahbiskan (dipersucikan) pada 1970. Dia dan ibu tiri saya mengenali ramai mubaligh Kristian dan pendakwah sehingga pernah membantu pembinaan "Prayer Tower" di Tulsa, Oklahoma. Mereka berdua juga terlibat mengedarkan kaset-kaset ceramah di rumah-rumah orang tua, hospital dan rumah pesara.


Namun pada 1991, ayah mula berurusniaga dengan seorang lelaki dari Mesir dan menyuruh saya menemui lelaki beragama Islam itu. Pada awalnya saya agak keberatan apa lagi mengetahui bahawa mereka adalah pengganas, perampas, penculik dan pengebom. Bukan itu sahaja, mereka juga bukannya mempercayai Tuhan, yang mereka tahu hanya mencium tanah lima kali sehari dan menyembah kotak hitam di tengah padang pasir.


Tidak! saya tidak akan berjumpa dengannya. Berkali-kali juga ayah mendesak dengan mengatakan dia seorang yang baik. Kerana tidak tahan dengan permintaannya, akhirnya saya bersetuju dengan syarat; pada hari Ahad, selepas ke gereja, membawa kitab Bible, seutas salib dan memakai kep yang tertulis 'Nabi Isa adalah Raja'. Isteri dan dua anak perempuan saya ikut serta dalam pertemuan itu.


Saya terkejut kerana saya menantikan seorang yang bertubuh sasa dengan jubah, serban, berjanggut paras dada dan bulu kening bercantum di dahi. Tetapi lelaki ini jauh berbeza, tiada janggut dan kepalanya hampir botak. Yang pasti, orangnya menyenangkan dan mesra. Semua ini jauh daripada sangkaan awal saya. Pun begitu, matlamat saya pada masa itu hanya satu iaitu, 'menyelamatkannya' .



Ketuhanan


Saya banyak bertanyakan soalan kepadanya, terutamanya yang berkaitan dengan ketuhanan dan perihal nabi-nabi. Dia banyak mengiyakan. Kami semakin rancak berbual dan semenjak itu hubungan kami semakin rapat. Saya dapat rasakan yang dia seorang yang baik, pendiam dan sedikit pemalu. Banyak topik yang kami bualkan acap kali bertemu dan ada ketikanya saya cuba selitkan beberapa mesej tentang agama kami.


Pada suatu hari saya dapat tahu bahawa teman Islam saya, Mohamed terpaksa berpindah dan tinggal sementara waktu di masjid. Kami bersetuju menumpangkan Mohamed di rumah besar kami.


Pengenalan pendek dengan seorang lelaki yang mengakui paderi Kristian yang telah melakukan kerja-kerja mubaligh untuk gereja lebih 12 tahun di selatan dan tengah Amerika Syarikat dan Mexico serta di New York membawanya tinggal bersama kami dan Mohamed. Kami berbual tentang konsep kepercayaan dalam agama Islam.


Mengejutkan saya apabila diberitahu bahawa setiap paderi Katolik, mereka belajar agama Islam dan ada di antaranya yang memiliki doktor falsafah dalam subjek itu . Ini satu yang baru bagi saya.


Semenjak itu kami sentiasa berbincang tentang agama masing-masing. Kami pernah bertanyakan perubahan versi kitab masing-masing. Pernah sekali saya bertanyakan kepada Mohamed sejak 1,400 tahun sudah ada berapa versi al-Quran. Pendek jawapannya hanya ada satu iaitu al-Quran malah ia telah dihafal oleh jutaan manusia. Bagi saya ini sesuatu yang mustahil. Bagaimana kitab saya boleh berubah-ubah sedangkan al-Quran tetap terpelihara.


Pada suatu hari teman paderi saya bertanyakan Mohamed keinginannya untuk mengikutnya ke masjid untuk mengetahui keadaan di sana. Sekembalinya mereka, saya bertanya kepada paderi itu apa yang dilakukan oleh orang Islam? Dia memberitahu, tidak ada apa yang dilakukan hanya sembahyang dan pulang. Pelik, tidak ada ceramah ataupun nyanyian.


Beberapa hari kemudian, sekali lagi paderi itu mahu mengikut Mohamed ke masjid. Kali ini mereka pergi agak lama sehingga hari sudah gelap. Bila pulang saya dapati, Peter (paderi) sudah melakukan syahadah. Saya terkejut dan semalaman memikirkan hal itu, lalu menceritakan kepada isteri. Tambah mengejutkan, apabila isteri saya juga menyuarakan hasratnya untuk bergelar Muslim kerana mengakui kebenaran Islam.


Saya terus memanggil Mohamed dan kami berbincang sepanjang malam sehingga masuk waktu solat Subuh, Mohamad meminta izin untuk melaksanakan kewajipannya. Pada detik itu, saya menyedari erti kebenaran dan sudah tiba masanya untuk saya membuat pilihan yang bakal menyelamatkan saya sama ada di dunia mahupun akhirat.


Saya ke belakang rumah, ambil sekeping papan lapis dan di situlah saya sujud mengadap kiblat. Saya meminta, kepada-Nya petunjuk dan bimbingan. Selepas dari itu, saya benar-benar dapat merasakan perubahan di dalam diri. Saya terus naik ke atas dan mandi dengan harapan ia akan membersihkan dosa-dosa. Saya kini seorang yang baru dan berazam membina kehidupan atas dasar kebenaran.


Pukul 11 pagi hari itu, saya mengucap syahadah bersama dua saksi iaitu sebelum ini Father Peter Jacob dan Mohamed Abel Rehman. Kemudian diikuti isteri dan beberapa bulan selepas itu, bapa pula melafazkan syahadah. Anak-anak saya dipindahkan dari sekolah Kristian kepada sekolah Muslim. Sepuluh tahun kemudian mereka berjaya menghafal al-Quran. Akhir sekali, ibu tiri saya pula mengakui kebenaran Islam."

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments

MARYAM JAMEELAH....pernah dengar nama ini??














“ISLAM menjawab dan menjelaskan segala-galanya. Dalam Islam saya temui kebenaran, kebaikan dan kecantikan yang bukan sahaja membawa dan memandu seseorang itu tentang kehidupan di dunia malah kehidupan selepas kematian.

“Malah jika ada yang bertanyakan bagaimana saya mengetahuinya? Saya hanya mampu menjawab, pengalaman peribadi cukup menyakinkan saya.
Pegangan teguh saya kepada akidah Islam datang secara tenang tetapi penuh keyakinan.

“Pengislaman saya adalah begitu formaliti, langsung tidak melibatkan perubahan radikal dalaman.” Begitulah jawapan Maryam Jameelah atau sebelum ini Margaret (Peggy) Marcus, seorang Yahudi Amerika yang memeluk Islam pada 1961 tentang impak agama Islam terhadap kehidupannya.

Menurut Maryam lagi, minatnya terhadap Islam bermula seawal usianya 10 tahun sewaktu mengikuti reformasi Yahudi Sunday School.

Pada waktu itu, beliau tertarik dengan sejarah hubungan di antara bangsa Yahudi dengan bangsa Arab. Menerusi buku teks Yahudi, dia difahamkan bahawa Nabi Ibrahim ialah ayahanda kepada semua bangsa Arab dan juga bangsa Yahudi.

Beliau terbaca beberapa abad kemudian semasa Zaman Pertengahan Eropah,
penindasan Kristian menyebabkan orang Yahudi teruk terseksa dan kehadiran mereka diterima umat Islam di Sepanyol.

Kebaikan hati yang ditunjukkan ini bakal merangsang budaya Ibrani (Hebrew) terus cemerlang tanpa langsung mengesyaki sifat semulajadi Zionis.

“Saya terlalu naif dan percaya bahawa bangsa Yahudi akan kembali ke Palestin untuk memperteguhkan hubungan persaudaraan dengan saudara sesama Arab.

“Tarikan kuat dengan pembelajaran sejarah bangsa Yahudi membuatkan saya tidak gembira di Sunday School,” katanya.

“Kakak saya sangat benci ke Sunday School sehingga setiap pagi ibu terpaksa bangunkannya dari katil dan dia tidak akan berganjak selepas dibebel dengan kata-kata pedas dan air mata. Akhirnya ibu, terima hakikat penolakan kakak.

Sementara itu, pada sambutan perayaan keagamaan Yahudi, kami (kakak dan saya) bukannya ke Synagogue atau melaksanakan puasa pada Tum Kipper tetapi kami dibawa keluar dari sekolah untuk pergi berkelah dan berpesta di restoran terbaik.

Apabila kami berjaya membuktikan kepada ibu bapa betapa teruknya keadaan kami di Sunday School, mereka menyertai pula sebuah organisasi agnostik dan kemanusiaan yang dikenali Ethical Cultural Movement,” cerita Maryam yang menghadiri kelas baru itu sehingga tamat pengajian iaitu pada usia 15 tahun.

Katanya lagi, apabila semakin dewasa dan matang, beliau tidak boleh menerima dan memperoleh kepuasan menerusi fahaman ateis.

Lalu Maryam mula mencari pembaharuan kepada identiti diri. Dalam tempoh itu, beliau pernah menyertai kumpulan bahai di New York yang dikenali The caravan of East and West diketuai lelaki Parsi bernama Mirza Ahmed Sohrab.

Beliau tertarik dengan Bahai kerana ia berasaskan Islam dan ceramahnya tentang Tuhan Yang Satu. Pun begitu, apabila beliau mengetahui kegagalannya untuk mengaplikasikan idea tersebut, Maryam meninggalkannya setelah setahun penyertaan.

Pada usia 18 tahun, Maryam menyertai pergerakan pemuda Zionis yang dikenali sebagai Mizrachi Hatzair tetapi apabila mengetahui kebenaran di sebalik Zionis, sekali lagi dia dikecewakan.

Semasa usianya mencecah 20 tahun, Maryam belajar di Universiti New York dan salah satu subjek elektif yang diambilnya ialah Judaism in Islam.

Malangnya profesor yang juga Ketua Jabatan Pengajian Hebrew, Rabbi Abraham Issac Katsh memesongkan para pelajarnya dengan mengatakan Islam berasal daripada agama Yahudi.

Tambah memburukkan, profesornya menyalahgunakan al-Quran demi membuktikan kepada pelajarnya bahawa agama Yahudi adalah agama teragung. Apabila semua tembelang yang dibawa oleh agama Yahudi terbongkar, Maryam tidak sanggup lagi mengakui dan menerima agama Yahudi.

Semenjak itu, beliau mula membuat perbandingan agama Yahudi dengan agama Islam.

Dalam kajiannya terhadap Old Testament dan kitab Taurat serta perbandingan dengan al-Quran dan hadis. Apa yang Maryam temui, agama Yahudi telah rosak sedikit dan akhirnya beliau mengucap syahadah.

Sebenarnya, keinginan bergelar Muslim wujud sejak tahun 1954 namun keluarganya dapat menghalang menerusi perbincangan terbuka.

Beliau ditakutkan dengan mengatakan bahawa Islam akan menyukarkan kehidupannya kerana ia tidak seperti agama Yahudi dan Kristian.

“Saya diberitahu bahawa Islam akan merenggangkan hubungan kami sekeluarga dan menyisihkan saya daripada masyarakat.

Pada masa itu, keimanan saya tidak begitu teguh untuk menghadapi tekanan sehebat itu. Situasi ini menyebabkan saya jatuh sakit.

“Dua tahun (1957-1959) saya berehat di rumah dan mendapat rawatan tetapi keadaan saya semakin teruk.

“Melihat keadaan kemurungan itu, ibu bapa menghantar saya ke hospital awam. Saya bersumpah sekiranya saya sembuh dan dibenarkan keluar, saya akan memeluk Islam.

“Apabila saya dibenarkan pulang, saya menyiasat mana-mana peluang untuk bertemu dengan orang Islam di Bandar Raya New York. Saya banyak menghabiskan masa di Perpustakaan Awam New York membaca bahan-bahan berkaitan Islam,” jelasnya yang banyak menghasilkan buku-buku berkaitan agama Islam selepas memeluk Islam.

Alhamdulillah, beliau berpeluang bertemu dengan beberapa lelaki dan perempuan Islam pada ketika itu.

Malah Maryam mula menulis rencana kepada majalah beraliran Islam dan berutus dengan ketua-ketua Islam seluruh dunia.

“Saya pernah berutus dengan Allahyarham Sheikh Abrahimi, ketua ulama di Algeria, Dr. Muhammad El-Bahay di Al-Azhar, Dr. Mahmud F. Hoballah dan Pengarah Pusat Islam di Washington D.C., Dr. Hameedullah di Paris, Dr. Said Ramadan, Pengarah Pusat Islam Geneva dan Maulana Sayyid Abul Ala Maudoodi,” katanya lagi.

Menurut Maryam, sangkaan pertamanya bila membaca al-Quran, Islam adalah satu-satunya agama kebenaran, benar-benar jujur, ikhlas, tidak membenarkan kompromi murahan atau hipokrasi.

Maulana Maudoodi pernah menulis kepada Maryam dalam suratnya yang pertama pada Januari 1961 berbunyi: “Semasa saya menilai esei anda, saya dapat rasakan seperti saya membaca idea saya sendiri.

“Saya berharap perasaan anda tidak akan berubah sekiranya anda berpeluang mempelajari bahasa Urdu dan pelajari buku-buku saya.

“Walaupun kita tidak pernah berkenalan, namun kesepakatan pemikiran dan simpati yang wujud adalah hasil daripada sumber yang sama iaitu Islam,” katanya.

Menjawab soalan tentang sikap dan reaksi ahli keluarga dan teman-teman selepas bergelar Muslim, kata Maryam, keluarga, saudara mara dan kawan-kawan menanggap beliau seorang yang fanatik kerana percakapan dan pemikirannya adalah tentang agama Allah sahaja.

Bagi mereka soal agama adalah sesuatu yang peribadi. Namun selepas membaca al-Quran, saya mengetahui bahawa Islam bukanlah sekadar hobi tetapi ia adalah soal kehidupan.

* Sumber: The Islamic Bulletin, San Francisco, California, Amerika Syarikat.

  • Digg
  • Del.icio.us
  • StumbleUpon
  • Reddit
  • RSS
Read Comments